Sunday, June 8, 2014

Ovulasi, Persenyawaan dan Penempelan

Ovulasi

Setiap bulan, kira-kira 30 telur akan berkembang di dalam ovari setiap wanita. Di antara 30 telur ini, terdapat satu telur yang dominan dan ianya akan merencat perkembangan telur-telur lain. Apabila telur ini telah matang ia dilepaskan dari ovari. Proses ini dipanggil ovulasi. Telur ini kemudiannya akan dibawa masuk ke dalam tiub fallopio dengan bantuan pergerakan fimbria. Telur akan disenyawakan di ampula. Jangka hayat telur selepas ovulasi adalah 24 jam. 

Berikut adalah tanda-tanda ovulasi:

1.Keputihan yang berair dan melekit
2.Rasa sakit disebabkan pemecahan folikel
3.Paras estrogen yang menaik dan menurun dengan mendadak
4.Pembengkakan payudara disebabkan ransangan progesteron
5.Peningkatan suhu badan kerana peningkatan paras progesteron

Persenyawaan

Sperma akan bergerak dari serviks ke uterus seterusnya ke tiub fallopian. Persenyawaan akan berlaku di ampula. Telur diselaputi oleh satu lapisan dipanggil zona pellucida. Pada permukaan zona pellucida terdapat banyak tapak-tapak reseptor. Sperma perlu melekat pada tapak reseptor ini dan mengaktifkannya sebelum ia dapat menembusi zona pellucida dan seterusnya mensenyawakan telur. Selepas satu sperma berjaya mensenyawakan telur, zona pellucida akan mengeras untuk menghalang sperma lain menembusinya. Telur yang telah disenyawakan dipanggil zigot. Zigot akan bergerak ke uterus dengan bantuan pergerakan silia. Zigot juga menjalani pembahagian dan pembezaan sel di sepanjang perjalanan ke uterus.

 Penempelan dan Kehamilan

24 jam selepas persenyawaan, zigot akan membahagi kepada 2 sel, 4 sel, 8 sel dan seterusnya. Pada tahap ini ia dipanggil embrio. Pada hari ke-5, embrio akan mencapai tahap blastosista (70-100 sel) dan terapung-di dalam uterus. Blastosista akan menetas keluar dari zona pellucida menjelang proses penempelan. Penempelan biasanya berlaku di dinding posterior uterus dan sedikit pendarahan mungkin berlaku. Selepas menempel, blastosista akan terus membahagi dan membeza membentuk jisim sel dalaman, trofoblas dan kantung amnion. Trofoblas akan menghasilkan hormon progesteron yang penting untuk tumbesaran dan perkembangan embrio di tapal penempelan. Ia juga menghasilkan hCG yang boleh dikesan dalam darah ibu pada hari ke-10 selepas persenyawaan atau di dalam air kencing pada hari ke-14. 3 minggu selepas persenyawaan, kantung amnion boleh dikesan melalui imbasan ultrabunyi.

No comments:

Post a Comment